Anwar beri amaran, jangan cabar prinsip perlembagaan, cubaan ugut kestabilan Kerajaan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya mencabar keluhuran Perlembagaan dan mengugut kestabilan kerajaan sedia ada dengan cara yang tidak demokratik.

Menurut beliau, kerajaan perpaduan tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bersifat provokatif serta mencetuskan huru-hara politik, apatah lagi cubaan untuk merampas kuasa tanpa melalui pilihan raya.

“Kalau betul ada majoriti, bawa usul undi tidak percaya di Parlimen. Saya tunggu. Tapi jangan buat kerja yang langgar prinsip demokrasi dan Perlembagaan,” tegasnya dalam amanat kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada penganjuran ‘Perhimpunan Turun Anwar’ yang dijadual berlangsung Sabtu ini di ibu negara, selain dakwaan kononnya kerajaan bakal dipaksa beralih tangan melalui tekanan luar.

Anwar menempelak taktik sesetengah pihak yang cuba mengheret rakyat ke kancah kekacauan hanya kerana kecewa tidak berjaya mengambil alih pentadbiran negara.

“Mereka tahu mereka tak cukup nombor, sebab itu pilih jalan singkat. Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab yang mencabar asas demokrasi berparlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar tiada masalah dikritik, malah mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu bertanding secara sah dan bersedia menanti pilihan raya akan datang.

“Saya bukan takut dikritik. Kalau rakyat mahu perubahan, tunggulah PRU. Tapi kalau mula dengan naratif huru-hara dan propaganda negara konon tak selamat, itu hanya merosakkan imej Malaysia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri jika wujud anasir yang sengaja mencetuskan ketegangan, sebaliknya akan bertindak tegas bagi mempertahankan kestabilan dan keharmonian negara.

“Selagi kerajaan ini mendapat mandat dan sokongan dua pertiga di Parlimen, saya akan pertahankan amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Kita tidak akan biar negara ini dijadikan mainan politik rakus,” katanya.

Terdahulu, pihak polis mengesahkan perhimpunan tersebut dijangka disertai sehingga 15,000 orang dengan penugasan seramai 2,000 pegawai dan anggota PDRM bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perhimpunan.

Anwar turut menyifatkan retorik yang dimainkan di pentas politik baru-baru ini, termasuk di stadium di Kedah, sebagai cubaan menanam persepsi negatif terhadap kerajaan dan mencetuskan keresahan rakyat.

“Ini bukan soal benci Anwar. Ini soal maruah sistem demokrasi dan kestabilan negara. Jangan heret rakyat ke kancah yang kita semua akan sesali nanti,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat