PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, di Istana Gudaibiya, Manama.
Pertemuan itu bertujuan untuk menilai tahap kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain serta meneroka bentuk kerjasama baharu.
“Kerjasama yang dibincangkan meliputi pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, semikonduktor serta sektor pelancongan.
“Kami juga menyentuh isu serantau, situasi di Timur Tengah khususnya Palestin yang memerlukan kerjasama serta tekad yang menyeluruh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Anwar turut mengundang Putera Salman untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China di Malaysia.
Beliau berharap agar dapat memperkukuh hubungan Malaysia dan Bahrain serta menarik lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara.