PETALING JAYA: Dalam satu pertemuan singkat namun bermakna, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump pagi Isnin sebelum pemimpin itu berlepas ke Tokyo, Jepun.
Pertemuan itu menjadi medan penting bagi kedua-dua pemimpin menilai semula pencapaian perbincangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini, merangkumi kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Trump atas peranan aktif beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza yang menjadi titik tolak penting ke arah kestabilan serantau.
“Usaha ini menjadi sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan di rantau yang bergolak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, Malaysia dan Amerika Syarikat komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan semangat saling menghormati dan kepentingan bersama, selaras dengan aspirasi memperjuangkan keamanan sejagat.
Pertemuan itu turut menyentuh kepentingan memperkukuh kestabilan rantau Indo-Pasifik dengan kedua-dua negara bersetuju bahawa keseimbangan geopolitik yang mampan hanya dapat dicapai melalui kerjasama ekonomi dan diplomatik yang konstruktif.
Dalam semangat memperkukuh hubungan masa depan, Anwar dan Trump turut berikrar untuk memperluas kerjasama dalam bidang teknologi hijau dan keselamatan siber, di mana dua cabang penting dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai awal bulan ini menyaksikan Malaysia memainkan peranan sebagai tuan rumah dalam rundingan damai antara Kemboja dan Thailand dengan sokongan aktif dari pentadbiran Trump.








