PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menempelak pembangkang sebagai hipokrit dalam isu surat sokongan pegawai beliau, selepas menonjolkan bahawa pemimpin kerajaan negeri Pas pula melakukan perkara sama malah lebih terang-terangan memohon kelulusan projek.
Beliau menyifatkan riuh rendah pembangkang terhadap kes pegawai PM sebagai tidak adil dan menunjukkan standard berganda kerana surat yang dikemukakan oleh pegawainya hanya untuk pertimbangan dan rujukan, bukannya kelulusan.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN), pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, terdapat perbezaan ketara antara surat yang hanya bersifat ‘dipanjangkan’ atau ‘untuk pertimbangan’ dengan surat yang secara terus memohon kelulusan projek bagi pihak syarikat.
“Jadi jangan… kita harus konsisten. Surat menyatakan ‘dipanjangkan’, itu riuh rendah satu kesalahan besar.
“Surat menyatakan ‘untuk kelulusan’, tidak ada satu suara,” katanya.
Bagi menjelaskan perkara itu, Anwar turut membacakan petikan dua surat yang didakwanya ditulis oleh pemimpin kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.
“Saya baca sekali lagi. ‘Untuk kelulusan pihak Datuk’, yang ini dari Terengganu, ditulis oleh seorang exco.
“Yang dari Kelantan pula ‘memohon pertimbangan kelulusan’,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa surat yang dikaitkan dengan pegawainya sebelum ini hanya berbentuk rujukan untuk pertimbangan dan tidak membawa maksud menyokong atau mengarahkan kelulusan projek.
Mengulas dakwaan dua pegawai politik Perdana Menteri yang tular baru-baru ini kerana dikaitkan dengan pengeluaran surat sokongan kepada beberapa syarikat, Anwar menjelaskan bahawa teguran telah diberikan secara sewajarnya.
“Kes termasuk pegawai di pejabat saya yang menyenaraikan enam syarikat dan meminta supaya dipertimbangkan, maka wajar diberi teguran.
“Tetapi apakah harus dipecat? Kerana surat itu menyebut ‘sila pertimbangkan’, bukan syor untuk meluluskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan amalan mengeluarkan surat sokongan, namun setiap surat yang diterima tetap perlu dirujuk kepada pihak berkaitan untuk penelitian.
“Takkan kita nak simpan. Dipanjangkan, diminta teliti. Tetapi yang tidak boleh adalah meminta supaya diberi kelulusan,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau menerima pelbagai surat daripada orang ramai, syarikat dan pemimpin tempatan ketika lawatan ke daerah atau negeri.
“Saya pergi mana-mana daerah, orang hantar surat kepada saya, saya tulis ‘sila teliti’.
“Tetapi yang tidak boleh adalah ‘menyokong’ atau meminta supaya syarikat itu diberikan kelulusan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa semua kelulusan projek mesti melalui saluran rasmi, penilaian teknikal dan proses kewangan yang sah, tanpa campur tangan politik.
Isu surat sokongan ini tercetus selepas dua pegawai politik Perdana Menteri dikaitkan dengan dakwaan mengeluarkan surat kepada beberapa syarikat, yang kemudiannya tular di media sosial, sekali gus mengundang reaksi pembangkang yang menuntut audit dalaman terhadap pejabat menteri.








