Anwar Bina Jambatan Diplomasi, Bukan Jual Maruah — Mahfuz

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya mengangkat maruah negara melalui pendekatan diplomasi yang berprinsip dan berdaulat di pentas antarabangsa.

Mengulas dakwaan pembangkang kononnya Anwar ‘berlebih-lebihan’ menyambut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Mahfuz menyifatkannya sebagai cubaan murahan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kelemahan mereka sendiri.

“Diplomasi bukan tunduk. Ia strategi negara berdaulat. PMX membawa Malaysia sebagai rakan setara, bukan pengikut.

“Hasilnya, kita dapat pengecualian tarif eksport bernilai RM22 bilion dan pelaburan dua hala RM715 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kejayaan diplomatik itu mencerminkan kematangan kepimpinan Anwar dalam memulihkan ekonomi negara yang sebelum ini terjejas akibat kegagalan pentadbiran lalu.

Mahfuz turut menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri mengabaikan isu Gaza, sambil menegaskan bahawa Malaysia kekal konsisten mempertahankan Palestin di platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Malaysia tetap konsisten membela Palestin melalui saluran diplomatik rasmi dan bantuan kemanusiaan.

“Berbeza dengan pembangkang yang hanya pandai berteriak di pentas politik tanpa hasil,” ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan diplomasi yang dibawa Anwar berpaksikan prinsip Islam rahmah iaitu berkawan dengan semua tanpa menggadaikan maruah atau prinsip negara.

Sebaliknya, pembangkang menurutnya hanya ghairah mencipta isu remeh demi meraih perhatian politik.

Katanya, dunia kini semakin menghormati Malaysia sebagai sebuah negara bebas, berprinsip dan disegani hasil pendekatan matang Perdana Menteri.

“PMX tidak menari untuk kuasa besar, beliau menari atas pentas diplomasi dunia dengan keyakinan, membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat