PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam di Putrajaya bagi membincangkan perkembangan semasa serta hala tuju industri perfileman tempatan.
Pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi sektor kreatif negara.
Antara isu yang dibincangkan termasuk cukai hiburan yang sebelum ini dibangkitkan oleh penggiat seni dan menurut Anwar, perkara tersebut akan diteliti serta dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti terbitan Skop Productions yang menyentuh isu rasuah dan integriti.
Beliau mengiktiraf sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan serta kebebasan bersuara.
Menurut Perdana Menteri, sektor kreatif memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat serta menjadi medium penyampaian mesej yang berkesan kepada rakyat.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara agar penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat dan negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Khamis.
Anwar berkata, kerjasama erat antara kerajaan dan penggiat industri perlu diperkukuh bagi memastikan industri perfileman tempatan terus berkembang secara mampan serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.








