KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) minggu depan bagi membincangkan strategi gelombang kedua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Mesir.
Anwar berkata, pertemuan itu bertujuan menyelaras usaha antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa, selain mencari kaedah terbaik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan ke wilayah bergolak itu.
“Selasa depan saya akan panggil Sany Araby, Nadir Al-Nuri dan rakan-rakan lain untuk kita bincang bagaimana nak pecahkan tembok Rafah.
“Selepas itu, saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi supaya laluan ini lebih mudah. Yang penting, mesej kita ialah menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Rabu.
Menurut Anwar, kerajaan memberi sokongan penuh terhadap sebarang inisiatif yang menyokong pembebasan Palestin serta usaha memecahkan sekatan di lintasan Rafah.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim, memohon keizinan untuk menggerakkan gelombang kedua misi bantuan selepas kapal aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Israel minggu lalu.
Anwar turut menegaskan dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap penindasan yang dialami rakyat Palestin.
“Dengan semangat rakan-rakan NGO yang menggerakkan Sumud Nusantara, nama Malaysia kini harum di mata dunia.
“Kita negara merdeka yang berkawan dengan semua pihak, tetapi tetap teguh mempertahankan prinsip keadilan dan kebebasan,” katanya.
Baca juga:








