Anwar: Cabang PKR tak aktif berdepan pembekuan peruntukan


Oleh: Tyah Helmi

KOTA BHARU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa peruntukan kepada mana-mana Cabang parti itu akan dibekukan sekiranya gagal menunjukkan pertambahan keahlian serta tidak aktif menjalankan kegiatan parti.

Tegas Anwar Ibrahim, kepimpinan di semua peringkat Cabang perlu segera meningkatkan prestasi dengan memberi tumpuan kepada usaha menambah ahli, menubuhkan Ranting baharu dan mempergiat aktiviti di peringkat akar umbi.

“Saya mahu lihat rekod pimpinan Cabang, berapa pertambahan ahli, berapa Ranting ditubuhkan dan sejauh mana kegiatan diperkukuh.

“Cabang yang tidak menunjukkan penambahan keanggotaan dan tiada aktiviti tidak akan diberikan peruntukan, manakala Cabang yang aktif akan diberi tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026 Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, kepimpinan serta jentera parti di Kelantan perlu memanfaatkan momentum semasa bagi memperkukuh kedudukan PKR di negeri berkenaan.

Menurutnya, perhimpunan kali ini merupakan antara yang terbaik pernah dianjurkan di Kelantan dan mencerminkan semangat baharu dalam kalangan anggota parti.

“Jika semangat ini dapat dikekalkan, Keadilan Kelantan berpotensi mencipta sejarah perjuangan di negeri ini,” ujarnya

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua pimpinan agar terus memelihara amanah dan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan bagi memastikan parti terus berkembang dan relevan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat