PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., bagi membincangkan pelbagai usaha memperkukuh hubungan dua hala serta mempererat kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan bahawa perbualan tersebut turut menyentuh isu keselamatan serantau, pembangunan ekonomi dan keperluan memperkukuh perpaduan serta kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.
“Dalam perbualan telefon bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. hari ini, kami membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta mempererat kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN.
“Perbualan turut menyentuh isu keselamatan serantau, pembangunan ekonomi, dan keperluan memperkukuh perpaduan serta kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin berbincang mengenai perkembangan konflik Thailand-Kemboja yang semakin mendapat perhatian serantau serta langkah-langkah bersama yang perlu diambil sebagai komitmen berterusan terhadap keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara.
“Kami turut berbincang terkait perkembangan konflik Thailand-Kemboja dan usaha-usaha bersama yang perlu dilakukan sebagai komitmen berterusan terhadap keamanan dan kestabilan serantau,” tambahnya.