PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bagi membincangkan tindakan ASEAN terhadap isu serantau termasuk krisis kemanusiaan di Myanmar dan kesan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan perbualan dua hala itu turut menekankan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Thailand serta komitmen menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri turut meninjau persiapan akhir Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung pada 26 hingga 27 Mei di KLCC dengan tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’.
“Beliau (Perdana Menteri) menegaskan kepentingan penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi khususnya dari aspek logistik, keselamatan, protokol dan trafik.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia berazam memastikan hasil sidang membawa tindakan konkrit demi kepentingan rakyat dan negara anggota terutama dalam menangani krisis Myanmar dan cabaran ekonomi global,” katanya menerusi satu sidang media, hari ini.
Bagi menyokong kelancaran sidang, Tunku Nashrul berkata, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan sesi pembelajaran di rumah (PdPR) di kawasan terlibat.
“Selain penjawat awam, sektor swasta juga digalakkan melaksanakan kerja dari rumah bagi memastikan kelancaran urusan persidangan, mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar, membantu kelancaran logistik persidangan nanti,” tambahnya.