Anwar dan PM Itali sepakat muktamad perjanjian strategik Petronas-ENI

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menyambut kehadiran Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni ke ibu negara awal tahun hadapan bagi memuktamadkan perjanjian strategik antara PETRONAS dan syarikat tenaga Itali, Eni S.p.A (ENI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian setelah mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya itu malam tadi.

“Kedua-dua pemimpin turut bersepakat untuk mempercepat dan memuktamadkan kerjasama PETRONAS–ENI dalam waktu terdekat, selaras dengan matlamat memperkukuh hubungan tenaga dan pelaburan antara Malaysia dan Itali.

“Insya-Allah, hubungan akrab Malaysia–Itali akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” ujarnya yang turut membincangkan hubungan dua hala serta komitmen bersama memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Menurut Anwar, Meloni juga memaklumkan ketidakhadiran beliau ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur berikutan keperluan mendesak di Rome dalam merangka dan menggubal undang-undang berkaitan belanjawan serta perbincangan penting di peringkat Kesatuan Eropah.

“Saya beritahu Perdana Menteri Meloni bahawa Malaysia memahami sepenuhnya keutamaan dan keperluan domestik yang menuntut tumpuan penuh beliau pada ketika ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pendirian teguh Itali yang terus menyokong seruan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat di Gaza.

“Itali menunjukkan suara hati nurani yang amat diperlukan di pentas dunia saat ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat