Anwar dan Shehbaz Sharif tukar pandangan termasuk isu Gaza

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan daripada rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, pada petang semalam.

Dalam semangat Aidilfitri, kedua-dua pemimpin bertukar ucapan dan doa untuk kesejahteraan rakyat masing-masing sebelum membincangkan pelbagai isu penting.

Anwar menzahirkan rasa gembira dengan hubungan erat antara Malaysia dan Pakistan yang terus berkembang pesat.

Beliau turut mengimbas kembali pertemuan mereka di Pakistan pada Oktober lalu, yang membuka peluang kerjasama baharu.

“Alhamdulillah, jumlah pelaburan Pakistan di Malaysia telah berkembang baik dan kini mencecah sekitar AS$397 juta.

“Saya mengalu-alukan lebih banyak pelaburan baharu terutama dalam bidang pertanian, petrokimia dan biojisim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kedua-dua pemimpin juga menilai semula memorandum persefahaman yang telah dipersetujui, meliputi bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, penyelidikan dan sains.

“Insya-Allah, kami sepakat mahu menyegerakan sebarang urusan tertunggak untuk segera merealisasikan kerjasama ini,” katanya.

Dalam perbincangan, isu Gaza turut disentuh, dengan kedua-dua pemimpin menyelar tindakan Israel yang melanggar perjanjian gencatan senjata.

“Kami sempat bertukar pandangan dan menyelaras idea tentang menghentikan keganasan dan pemulihan semula Gaza,” katanya.

Anwar turut menyatakan keterujaannya menyambut kunjungan rasmi Shehbaz ke Malaysia pada 9 Mei depan.

Beliau berharap Ramadan dan Aidilfitri membawa keberkatan kepada hubungan persahabatan kedua-dua negara, demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Pakistan.

Anda Mungkin Berminat