PERU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dianugerahkan pingat tertinggi Peru, ‘El Sol del Peru’ (Matahari Peru), semasa lawatan rasmi pertamanya ke negara Amerika Latin tersebut.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, sebagai pengiktirafan atas peranan signifikan Anwar sebagai Ketua Kerajaan Malaysia dan sumbangannya dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Upacara penganugerahan yang berlangsung di Istana Kerajaan di Lima itu merupakan satu penghormatan besar kepada Anwar yang turut menyertai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) dari 14 hingga 16 November.
Anugerah ‘El Sol del Peru’ adalah anugerah sipil tertua di Amerika yang diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam atau diplomasi.