ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penganugerahan Order of the Republic, iaitu darjah kebesaran tertinggi Turkiye, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam satu majlis rasmi di Kompleks Presiden sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke negara berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Anwar menyatakan rasa syukur dan rendah diri atas penganugerahan yang diterima, sambil menegaskan bahawa penghormatan itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya ditujukan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Menurut beliau, anugerah berkenaan melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berlandaskan kepercayaan, saling menghormati serta aspirasi bersama ke arah keamanan dan kemakmuran sejagat.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis makan malam rasmi bagi meraikan lawatan beliau ke Turkiye.
Baca juga:








