DILI: Satu sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden Timor Leste sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, menandakan hubungan diplomatik yang semakin erat antara kedua-dua negara.
Upacara berkenaan diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik, mencerminkan penghormatan tinggi yang diberikan oleh Timor Leste kepada Malaysia sebagai rakan strategik serantau.
Selepas istiadat, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor Leste, Dr José Ramos-Horta.
Kedua-dua pemimpin kemudian mengetuai delegasi masing-masing dalam satu mesyuarat dua hala yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada sektor utama yang berpotensi untuk diperkukuh termasuk pertahanan, kesihatan, komunikasi, pendidikan, budaya, pengecualian visa, pelaburan dan perdagangan.
Menurut satu hantaran di Facebook Anwar, kedua-dua pihak sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang-bidang ini demi manfaat rakyat masing-masing.
“Pertemuan turut menjadi medan pertukaran pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama dalam suasana mesra dan konstruktif,” katanya.
Beliau turut berkata, hasil perbincangan akan dikongsikan bersama media tempatan dan Malaysia agar rakyat kedua-dua negara dapat memahami manfaat yang bakal diperoleh.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau,” ujarnya.
Lawatan rasmi itu bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh persahabatan dan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik khususnya dalam pembangunan ekonomi dan keselamatan serantau.








