Anwar Doa Keselamatan Buat Mangsa Banjir Sabah

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap bencana banjir yang semakin memburuk di Sabah, yang telah memaksa lebih 400 penduduk di Penampang dan Beaufort berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, keselamatan nyawa keluarga harus menjadi keutamaan mutlak khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko.

“Saya mohon penduduk segera berpindah apabila diarahkan kerana keselamatan nyawa keluarga adalah keutamaan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar pihak berkuasa dan agensi keselamatan mempertingkatkan usaha menyelamat serta memastikan kebajikan mangsa diberi perhatian penuh.

“Pastikan keperluan asas mangsa dipenuhi dan berikan perlindungan terbaik sehingga keadaan kembali pulih,” tambah beliau.

Dalam menghadapi detik sukar ini, Anwar menyampaikan doa dan harapan agar semua mangsa terus tabah serta keadaan segera kembali pulih.

“Doa kami sentiasa bersama kalian,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa daerah di Sabah termasuk Penampang dan Beaufort dilanda banjir kilat sejak awal minggu ini akibat hujan lebat berterusan.

Keadaan itu memaksa ratusan keluarga meninggalkan kediaman masing-masing demi keselamatan.

Anda Mungkin Berminat