Anwar Doakan Kesihatan Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa agar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang diberikan kesihatan yang berpanjangan selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Menerusi ciapan ringkas di laman X, Anwar turut mendoakan kekuatan dan kesembuhan buat Ahli Parlimen Marang itu.

“Mendoakan kesihatan yang berterusan buat Ustaz Haji Hadi, Insya-Allah,” ciapnya ringkas.

Terdahulu, PAS memaklumkan bahawa prosedur rawatan ke atas Abdul Hadi berjaya dilaksanakan tanpa sebarang komplikasi dan beliau kini berada dalam keadaan stabil.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa rawatan dijalankan seperti dijadualkan dan pihaknya merakamkan penghargaan kepada barisan perubatan IJN.

“Kami turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan dan kesembuhan beliau,” katanya.

Anda Mungkin Berminat