PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan telah hadir dan menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Erdogan ke negara ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menekankan kepentingan kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara yang perlu diberi tumpuan dan dilaksanakan dengan segera.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai tarikan dan potensi ekonomi termasuk kepakaran dalam industri semikonduktor dan digital yang boleh diperluaskan dan dipertingkatkan lagi.
“Saya turut berkongsi mengenai sinergi baharu yang boleh diterokai oleh syarikat-syarikat Turkiye melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dirangka untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dengan forum perniagaan ini menjadi program terakhir dalam lawatan rasmi Presiden Erdogan, Perdana Menteri menggunakan kesempatan tersebut untuk merakamkan penghargaan atas kehadiran Presiden Erdogan dan delegasinya.
Anwar juga menyatakan keyakinan bahawa hubungan yang terjalin ini bakal meraih impak kerjasama yang luas dan bermanfaat pada masa hadapan.