Anwar Fokus Penyediaan Belanjawan MADANI 2026

KUALA LUMPUR: Ketika negara bersiap memasuki fasa baharu pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa beliau berada di Kementerian Kewangan bersama pasukan Perbendaharaan untuk menumpukan sepenuhnya kepada penyediaan Belanjawan MADANI Keempat bagi tahun 2026.

“Hari ini saya di Kementerian Kewangan bersama pasukan Perbendaharaan menumpukan pada perencanaan untuk Belanjawan MADANI Keempat 2026,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, belanjawan kali ini bukan sekadar dokumen fiskal tahunan, tetapi menjadi platform penting untuk memperkukuh asas transformasi negara ke arah masa depan yang inklusif dan mampan, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

Difahamkan katanya, antara tumpuan utama Belanjawan 2026 ialah pembangunan tenaga lestari, transformasi ekonomi digital, pengukuhan sektor teknologi tinggi serta pengembangan ekonomi Islam dan semuanya dirangka bagi melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.

Kementerian Kewangan sebelum ini turut menjelaskan bahawa belanjawan tersebut akan memberi penekanan kepada pembaharuan struktur ekonomi, penyelarasan semula insentif pelaburan serta memastikan perbelanjaan awam yang lebih berkesan dan berimpak tinggi terhadap rakyat.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut memberi bayangan mengenai beberapa pengumuman penting yang bakal memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak termasuk langkah memperkukuh subsidi bersasar dan memperluas peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Belanjawan MADANI 2026 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober ini dan dijangka menjadi penanda aras kepada hala tuju baharu negara dalam menghadapi cabaran global serta membina masa depan yang lebih adil dan progresif untuk semua lapisan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat