PETALING JAYA: Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah disambut dengan penuh keyakinan oleh Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, yang melihatnya sebagai tanda jelas bahawa negara sedang melangkah ke fasa baharu reformasi institusi di bawah pentadbiran MADANI.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi PKR Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, menyatakan sokongan padu terhadap agenda reformasi yang digariskan oleh Perdana Menteri khususnya dalam usaha memperkukuh integriti dan ketelusan pentadbiran.
“Perutusan Tahun Baharu oleh Perdana Menteri jelas mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh dan berfasa,” katanya.
Antara langkah utama yang diketengahkan termasuk pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat, di mana semuanya bertujuan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Menurut Azman, di peringkat Wilayah Persekutuan, reformasi turut digerakkan melalui penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, kecekapan pentadbiran bandar dan pemerkasaan badan kehakiman.
Pendekatan itu dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai model pentadbiran yang telus dan berdaya saing.
Selain itu katanya, bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluas kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas turut menjadi bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat secara inklusif.
“Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan menyokong penuh usaha reformasi yang sedang dilaksanakan demi kebaikan rakyat dan kemajuan negara,” tegasnya.







