CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara Asean memanfaatkan kerjasama strategik dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China bagi memperkukuh keselamatan tenaga serantau susulan krisis Asia Barat yang terus menjejaskan kestabilan bekalan bahan api.
Beliau berkata, kerjasama serantau amat penting ketika gangguan global memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan tenaga di Asia Tenggara.
Menurut beliau, Asean juga perlu mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja Asean mengenai Perjanjian Keselamatan Petroleum selain mempelbagaikan sumber bahan api bagi mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan yang mudah terjejas.
“Kita mesti mengiktiraf bahawa kerjasama strategik dengan rakan dipercayai dan kumpulan serantau mampu memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang Asean,” katanya ketika berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak Asean ke-48 di Cebu.
Anwar berkata, hubungan Asean-GCC-China mampu membantu membina sistem tenaga yang lebih stabil, dipercayai dan berdaya tahan untuk rantau ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kesan krisis Asia Barat ketika ini bersifat menyeluruh dan tidak mampu ditangani secara bersendirian oleh mana-mana negara.
“Tindak balas kita mesti bersifat kolektif, terselaras dan berpandangan jauh,” katanya.
Selain isu tenaga, beliau turut memberi amaran bahawa kenaikan harga bahan api dijangka meningkatkan kos pengeluaran makanan, baja dan pengangkutan sekali gus memberi tekanan terhadap keselamatan makanan di rantau Asean.
Baca juga:







