Anwar Gesa Birokrasi Keluar Daripada Kepompong Lama

KUALA LUMPUR: Sistem pentadbiran awam negara diseru segera keluar daripada kepompong peraturan lama dan berani melakukan perubahan demi memenuhi tuntutan zaman yang semakin kompleks, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap pada ASEAN Conference 2025: Future Ready Public Service pada Selasa, Anwar berkata, kekuatan perkhidmatan awam tidak hanya bergantung kepada pematuhan prosedur tetapi juga kepada keupayaan menangani cabaran baharu secara pantas dan berkesan.

“Birokrasi dan penjawat awam terikat dengan kaedah serta peraturan lama, namun dalam masa sama perlu segera menangkap keperluan untuk berubah secara agresif,” katanya.

Beliau berkata, dalam era yang dipacu oleh teknologi, perubahan iklim dan desakan masyarakat terhadap ketelusan, institusi pentadbiran awam perlu menjadi lebih tangkas serta berani mencuba pendekatan baharu yang lebih relevan dan responsif.

Anwar turut mengangkat nilai moral dan keadilan sebagai teras kepada keberkesanan perkhidmatan awam, menyatakan bahawa pembangunan negara hanya bermakna jika disertai dengan tanggungjawab kepada rakyat.

“Tanpa tujuan moral, perkhidmatan awam akan kehilangan makna.

“Kejayaan pembangunan hanya akan bermakna jika disertai dengan keadilan dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan institusi kerajaan tidak bergantung kepada individu semata-mata tetapi kepada sistem dan struktur yang kukuh serta mampu beradaptasi dengan perubahan zaman.

Anda Mungkin Berminat