PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang meneliti beberapa cadangan penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara ketika krisis bekalan global semakin meruncing.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah cadangan pengurangan kadar sewa premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Anwar berkata, lebih banyak PBT di seluruh negara perlu melaksanakan langkah ini bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang kini terhimpit dengan peningkatan kos operasi.
“Kerajaan MADANI telah memulakan pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga menerusi DBKL dan MARA.
“Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar,” katanya.
Mesyuarat turut meneliti pelbagai langkah strategik untuk mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
Mengambil kira impak krisis yang semakin memberi tekanan kepada harga barangan harian, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan setiap kementerian untuk menyelaras semula inisiatif, usaha dan bantuan supaya sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada yang tercicir khususnya golongan miskin dan rentan.
“MTEN akan terus memberi fokus utama kepada usaha menjamin kelangsungan bekalan serta melindungi rakyat khususnya golongan rentan dan peniaga kecil agar mereka tidak terus terbeban akibat kejutan ekonomi global,” tegasnya.








