Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah menggesa Thailand-Kemboja untuk segera menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
Anwar berkata, beliau baru sahaja mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.,” ujarnya di laman Facebook rasminya pada Sabtu.
Perdana Menteri turut menggesa kedua-dua negara itu untuk menghentikan penggunaan kekerasan
kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10 malam, 13 Disember 2025 waktu tempatan.
Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Anwar menjelaskan Malaysia turut meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan.
Misi ini akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
“Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember.
“Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau,” ujarnya.
Justeru katanya, Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama.
Baca juga:








