KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang menggerakkan sepenuhnya kekuatan hubungan diplomatik antarabangsa bagi membebaskan aktivis dan sukarelawan negara yang ditahan oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan sedang memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan aktivis dan sukarelawan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Misi GSF, yang bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, dilaporkan telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa, mencetuskan kebimbangan global serta desakan agar tindakan segera diambil.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, Perdana Menteri telah menyatakan kesediaan untuk menghubungi beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membincangkan langkah segera menyelamatkan delegasi Malaysia.
“Pada jam 9.38 pagi, Perdana Menteri menghubungi saya dan menyatakan kesediaan beliau untuk menghubungi rakan sejawat dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi.
“Kita mohon Perdana Menteri dapat mewakili suara kita melalui laluan diplomatik dan hubungan erat Malaysia dengan negara-negara besar,” katanya.
Dr Sani turut memaklumkan bahawa rundingan susulan akan diteruskan dengan negara lain termasuk United Kingdom (UK) dan Sepanyol bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan yang terlibat dalam misi berkenaan.







