KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan Misi Diplomasi MADANI ke Gyeongju, Republik Korea bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik), yang menghimpunkan pemimpin serantau bagi membincangkan masa depan perdagangan dan kemampanan global.
Menurut Anwar, penyertaan Malaysia dalam sidang berprestij itu merupakan peluang strategik untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, memperluas perdagangan yang adil serta memperkasa agenda kemampanan dan kesejahteraan sejagat.
“Sidang ini penting bagi memperkukuh jaringan kerjasama ekonomi serantau serta memastikan Malaysia terus menjadi rakan dagang yang relevan di peringkat global,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut memohon doa rakyat agar segala urusan delegasi Malaysia dipermudahkan dan misi diplomasi tersebut membawa manfaat besar kepada negara.
“Doakan agar segala urusan kami dipermudahkan dan misi diplomasi ini membawa hasil yang baik untuk Malaysia,” katanya.
Sidang APEC kali ini dijangka memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti pemulihan ekonomi pasca pandemik, transformasi digital dan usaha memperkukuh rantaian bekalan serantau.
Kehadiran Malaysia sebagai salah satu ekonomi penting di Asia Tenggara menandakan komitmen negara terhadap kerjasama pelbagai hala yang inklusif dan berdaya tahan.








