RIO DE JANEIRO: Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS 2025.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia hadir sebagai Negara Rakan BRICS dan dalam kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN 2025, selepas secara rasmi menyertai BRICS pada 1 Januari lalu.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Menurut kenyataan itu, sidang kali ini memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu kesihatan global, perubahan iklim, kecerdasan buatan (AI), keselamatan pelbagai hala, pembangunan institusi BRICS, perdagangan dan pelaburan.
Anwar dijadual menyampaikan Kenyataan Negara dalam dua sesi utama bertemakan ‘Strengthening Multilateralism, Economic-Financial Affairs, and Artificial Intelligence’ dan ‘Environment, COP30 and Global Health’
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen teguh negara untuk memperkukuh multilateralisme serta memperjuangkan suara dan kepentingan negara-negara membangun, sejajar dengan matlamat teras BRICS 2025,” kata Wisma Putra.
Malaysia juga katanya, berhasrat memperkukuh hubungan ASEAN–BRICS dengan penekanan kepada kerjasama serantau dan perkongsian ekonomi yang mampan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam merapatkan kerjasama ASEAN dan BRICS demi kesejahteraan rantau serta kestabilan ekonomi global,” menurut kenyataan sama.
Di samping menghadiri sidang, Anwar dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta pertemuan dengan syarikat-syarikat dari Brazil dan Malaysia bagi memperkukuh hubungan pelaburan dua hala.