KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri tayangan global perdana filem epik Taj Mahal ‘An Eternal Love Story’ yang disifatkan sebagai detik bermakna dalam mengangkat seni sebagai jambatan persahabatan dan kefahaman sejagat.
Anwar berkata, penayangan semula filem berkenaan selepas lebih dua dekad dalam versi dipertingkatkan dengan teknologi terkini membuktikan keupayaan seni untuk terus hidup merentas zaman tanpa menghilangkan keindahan asalnya.
“Filem ini kembali dengan sentuhan teknologi moden, namun tetap mengekalkan roh dan keindahan asal yang memberi pengalaman tontonan lebih segar dan mendalam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengarah filem berkenaan, Akbar Khan, serta kehadiran barisan pelakon asal yang disifatkan sebagai melengkapkan nilai sentimental dan sejarah tayangan berkenaan.
“Saya menghargai usaha sahabat saya Akbar Khan dan seluruh pasukan yang menjayakan malam bersejarah ini,” katanya lagi.
Menurut Anwar, kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal yang menjadi teras penceritaan filem itu kekal relevan sebagai simbol pengorbanan, kesetiaan dan keindahan ciptaan insan.
“Kisah ini terus hidup sebagai lambang cinta yang merentas zaman, peradaban dan sempadan budaya,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kerana Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran global filem itu, sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai hab budaya dan diplomasi serantau.
“Malaysia ialah pentas yang meraikan seni, memperkukuh dialog dan mempertautkan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Baca juga:








