PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar Pakistan dan India mencapai penyelesaian damai yang menyeluruh demi kestabilan dan keamanan jangka panjang di Asia Selatan.
Hasrat itu disampaikan dalam panggilan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang kini sedang menunaikan ibadah haji.
“Saya menyampaikan hasrat agar Pakistan dan India dapat mencapai penyelesaian yang damai dan tuntas demi menjamin kestabilan dan keamanan serantau yang berpanjangan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Dalam perbualan itu, beliau turut mendoakan agar Shehbaz dikurniakan haji mabrur dan mengucapkan Eid Mubarak kepada seluruh rakyat Pakistan.
Selain itu, Anwar berharap lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia yang tertangguh sebelum ini dapat dijadualkan semula apabila keadaan di Pakistan mengizinkan.
“Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati dan membawa manfaat bersama,” ujarnya.
Dalam perbualan itu, Shehbaz turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Malaysia dan Pakistan terus mengukuhkan hubungan diplomatik melalui pelbagai bidang, termasuk perdagangan, keselamatan dan pendidikan.
Lawatan rasmi antara pemimpin kedua-dua negara dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama demi manfaat rakyat.