KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan kepimpinan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang bakal bersara tahun hadapan.
Dalam kunjungan hormat persaraan di pejabat Perdana Menteri, Anwar merakamkan ucapan terima kasih atas pengabdian Mohd Nizam sepanjang perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya menghargai sumbangan besar Panglima Angkatan Tentera itu dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Mohd Nizam, yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) ke-23 berkuat kuasa 31 Januari lalu, dijadual memulakan cuti persaraan pada 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos.
Sepanjang kerjayanya, beliau dikenali sebagai seorang pemimpin berwibawa yang menitikberatkan disiplin, kesiapsiagaan dan semangat juang anggota ATM demi mempertahankan maruah serta keselamatan negara.








