Anwar Hargai Potensi Kerjasama Strategik Bersama KSI Asia Pasifik

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa besar hati apabila Kerajaan MADANI dilihat mempunyai potensi untuk menjalin kerjasama strategik dengan KSI Strategic Institute for Asia Pacific, sebuah organisasi bukan kerajaan yang berperanan sebagai pusat pemikiran strategik di rantau Asia Pasifik.

Dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Isnin, Anwar berkata, KSI bakal memberi tumpuan kepada dialog dasar, pemikiran strategik serta penganjuran forum-forum ekonomi yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan.

“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada KSI Strategic Institute for Asia Pacific, sebuah organisasi bukan kerajaan yang berperanan sebagai pusat pemikiran strategik di rantau Asia Pasifik.

“Bakal memberi tumpuan kepada dialog dasar, pemikiran strategik serta penganjuran forum-forum ekonomi yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan berkaitan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pertemuan tersebut menjadi ruang penting untuk memperkenalkan misi dan aspirasi KSI dalam memperkukuh pembangunan negara melalui dialog dasar, pemikiran strategik dan inovasi.

“Saya turut menghargai perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik yang selari dengan agenda Malaysia MADANI dalam pembinaan negara, pembangunan kepimpinan berintegriti serta kesejahteraan rakyat secara mampan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat