KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Filipina, Ferdinand ‘Bongbong’ Romualdez Marcos Jr., petang tadi bagi membincangkan beberapa isu serantau dan global melibatkan ASEAN.
Dalam perbualan itu, Anwar memaklumkan mengenai pendirian Malaysia yang menggesa agar gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan, bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada penduduk yang terjejas.
“Kami sepakat bahawa sebarang bentuk bantuan kemanusiaan harus disalurkan tanpa diskriminasi atau sekatan,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Menyentuh soal ekonomi, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia, selaku pengerusi ASEAN tahun ini, bersedia memanfaatkan kedudukannya bagi menunjukkan kepentingan rantau ini kepada Amerika Syarikat dalam rundingan tarif global.
Menurut beliau, keputusan AS menangguhkan pelaksanaan tarif selama 90 hari memberi kelegaan sementara yang penting untuk membolehkan perbincangan lanjut diadakan, terutamanya memandangkan kekuatan Malaysia dalam beberapa jenis produk eksport utama.
Dalam perbualan itu, Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Marcos menjelang Pilihan Raya Umum Filipina yang dijadualkan pada 12 Mei ini, selain menzahirkan harapan untuk bertemu beliau dalam Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang di Kuala Lumpur.
Baca juga: