PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohamad Hassan Akhund pada Khamis bagi membincangkan ketegangan yang semakin meningkat antara Afghanistan dan Pakistan.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat, Anwar berkata, kedua-dua negara perlu menahan diri dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memperburukkan lagi keadaan.
“Saya turut berhubung dengan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund malam tadi bagi membincangkan ketegangan yang semakin memuncak antara Afghanistan dan Pakistan ketika ini.
“Tindakan ketenteraan yang telah meragut ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak mesti dihentikan segera,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia menggesa agar ketegangan tersebut ditangani melalui solusi dialog dan saluran diplomatik bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau.
Terdahulu, media melaporkan semakin ramai penduduk di sempadan Pakistan-Afghanistan meninggalkan kediaman berikutan bedilan dan letupan yang semakin kerap pada hari ketujuh pertempuran tentera kedua-dua pihak.
Sekutu Asia Selatan yang kini bertukar menjadi musuh itu menyaksikan pertempuran terburuk dalam beberapa tahun selepas serangan udara Pakistan ke atas bandar utama Afghanistan minggu lalu.
Menurut Islamabad, serangan udara tersebut menyasarkan kerajaan Taliban dengan tujuan menghentikan pengganas daripada menggunakan wilayah Afghanistan untuk menyerang Pakistan.








