Anwar Hubungi Sultan Brunei, Sanjung Komitmen Pasukan Perubatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menghubungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bagi bertanya khabar susulan rawatan kesihatan yang diterima Baginda di Malaysia baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, keadaan kesihatan Baginda dilaporkan semakin pulih dan terus dipantau rapi oleh pasukan perubatan termasuk penglibatan langsung petugas kesihatan dari Malaysia.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan Baginda dilaporkan bertambah baik setakat ini dan terus dipantau rapi oleh pasukan perubatan termasuk penglibatan petugas kesihatan dari Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam perbualan itu, Baginda turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme pasukan perubatan Malaysia.

“Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat cemerlang serta dedikasi pasukan perubatan Malaysia yang terlibat secara langsung dalam penjagaan kesihatan Baginda,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh tentang perkembangan positif hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei serta kerjasama serantau yang kekal konstruktif dalam platform ASEAN.

“Dalam perbualan tersebut, kami turut menyentuh perkembangan positif hubungan dua hala Malaysia dan Brunei yang kekal erat serta perkembangan semasa isu-isu rantau ASEAN yang terus berjalan dengan lancar dan konstruktif,” katanya.

Beliau turut menzahirkan doa agar Baginda dan seluruh Keluarga Diraja Brunei sentiasa berada dalam lindungan serta rahmat Ilahi.

“Saya mendoakan agar Baginda Tuanku serta seluruh Keluarga Diraja Brunei sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan dan berada di bawah lindungan Allah SWT,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat