PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC terus memperkukuh skuad bagi menghadapi musim Liga Malaysia 2025–2026 dengan pengumuman rasmi kemasukan bekas pertahanan KL City FC, Anwar Ibrahim.
Pemain berusia 26 tahun itu diperkenalkan secara rasmi menerusi media sosial kelab malam tadi, menjadikannya antara rekrut utama bagi memperkuatkan benteng pertahanan The Jangs.
“Dulu kota, kini negeri! Anwar Ibrahim bersedia bawa asakan dari pertahanan, musuh, bersedialah!” kata kenyataan NSFC bersama visual pengumuman.
Beraksi di posisi pertahanan kanan, Anwar mempunyai rekod 22 penampilan bersama skuad kebangsaan B-19 dan berpengalaman luas dalam kancah liga domestik.
Karier profesionalnya bermula pada 2018 bersama Felda United sebelum menyertai Selangor FC dua tahun kemudian.
Bintang muda ini benar-benar mencuri perhatian ketika bersama KL City FC, terutama ketika membantu pasukan menjulang Piala Malaysia 2021 sebagai salah satu tunjang pertahanan.
Kehadirannya dijangka memberi lebih banyak opsyen taktikal kepada barisan kejurulatihan NSFC khususnya dalam memperkukuh bahagian sayap pertahanan.
NSFC turut memberi bayangan akan mengumumkan pemain import baharu tidak lama lagi.