Anwar Ingatkan Pada Mesyuarat Kabinet, ‘Tiada Perlindungan Jika Berlaku Salah Laku’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sesekali melindungi mana-mana individu sekiranya wujud keperluan untuk siasatan oleh pihak berkuasa.

Penegasan itu hadir susulan peletakan jawatan bekas Setiausaha Politik beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, prinsip integriti kekal menjadi tunjang pentadbiran dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Mana-mana kes yang melibatkan kemungkinan salah laku atau siasatan tertakluk sepenuhnya kepada proses undang-undang negara.
Ini termasuk tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diperlukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Menurut Fahmi, Perdana Menteri turut mengingatkan Jemaah Menteri supaya memantau pegawai masing-masing dan memastikan tiada sesiapa diberi perlindungan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan.

“Prinsip asas pentadbiran kerajaan Madani adalah semua pihak tertakluk kepada undang-undang.

“Tiada sesiapa kebal daripada peraturan, dan sebarang salah laku akan disiasat tanpa campur tangan politik,” katanya.

Mesyuarat Kabinet turut dimaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut berkaitan kes berkenaan akan ditentukan oleh pihak berkuasa mengikut prosedur siasatan sedia ada.

Anda Mungkin Berminat