Anwar Ingatkan Penjawat Awam Laksana Amanah Dengan Integriti, Jujur Dan Teliti

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh penjawat awam agar melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh teliti, jujur dan berintegriti khususnya dalam suasana bulan Ramadan yang menjadi medan muhasabah diri.

Dalam peringatan yang disampaikan menerusi hantaran di Facebook beliau, Anwar berkata, penjawat awam tidak boleh leka atau berasa selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu terus berusaha memperbaiki kelemahan.

“Bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada hari pertama Ramadan dalam sebuah Madrasah Ruhiyah yang mengajak kita bermuhasabah, memperbaiki diri serta memperkukuh nilai, disiplin dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Teguran wajar diterima dengan lapang dada, manakala penambahbaikan perlu dilaksanakan secara berhemah, tersusun dan berterusan,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan atas khidmat dan pengorbanan warga KDN serta agensi di bawahnya yang saban hari memastikan keamanan dan ketenteraman negara.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan telah dicapai kebelakangan ini termasuk usaha mengekang ketirisan, memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras jenayah dan penyeludupan yang menyelamatkan hasil negara bernilai besar.

“Pencapaian ini menjadi bukti kesungguhan jentera keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan, undang-undang serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menyatakan keyakinan bahawa semangat islah dan disiplin Ramadan akan terus meningkatkan prestasi penjawat awam, memperkukuh integriti serta memastikan tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi menjamin Malaysia kekal aman, stabil dan dihormati.

Anda Mungkin Berminat