Anwar: Israel Perlu Dipertanggungjawabkan Di Bawah Undang-Undang Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa keganasan berskala besar tidak boleh dibenarkan berulang di Gaza, sambil memberi amaran bahawa sebarang kebangkitan semula konflik hanya akan membawa penderitaan yang tidak dapat diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya krisis tersebut tercetus kembali, ia berisiko meruntuhkan prospek keamanan yang sedia rapuh di wilayah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Israel mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dan diheret ke muka pengadilan selaras dengan ketetapan undang-undang antarabangsa.

“Mengenai Gaza, saya mengambil maklum perbincangan terkini yang diadakan di Florida bagi membincangkan fasa seterusnya proses keamanan.

“Perlu ditegaskan, tidak boleh ada kembalinya keganasan berskala besar. Sebarang kebangkitan semula konflik akan mengenakan kos yang tidak dapat diterima kepada orang awam dan terus menghakis prospek keamanan yang sedia rapuh,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, Israel juga perlu bertanggungjawab atas segala tindakan serta kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.

Mengulas pengiktirafan Israel terhadap sebuah wilayah yang dikenali sebagai Somaliland, Anwar berkata Malaysia menolak langkah tersebut, khususnya jika ia bertujuan dijadikan destinasi pemindahan paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

Beliau berkata, pendirian Malaysia itu selari dengan pandangan majoriti negara antarabangsa serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah berkenaan.

“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang percubaan menggunakan ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

“Gagasan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan, dan hanya akan mengekalkan ketidakadilan tanpa menyumbang kepada keamanan,” tegasnya.

Beliau menambah, Malaysia menolak semua tindakan yang melemahkan tertib dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat