PETALING JAYA: Negeri Sarawak khususnya berduka atas pemergian Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3.34 pagi tadi di Pusat Perubatan Normah, Kuching.
Allahyarhamah berusia 76 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita mewakili dirinya dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas kehilangan besar ini.
“Saya dan Azizah berduka menerima khabar pemergian Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg awal pagi tadi.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga allahyarhamah, terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam.
“Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini. Kami sekeluarga menitipkan doa semoga ruh allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan dikurniakan tempat yang istimewa di sisi-Nya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Allahyarhamah merupakan tokoh wanita yang disegani di Sarawak, pernah memimpin Persatuan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI) dan dikenali atas sifat rendah hati serta komitmennya dalam kerja-kerja kebajikan.
Beliau juga merupakan puteri kepada Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman, Yang di-Pertua kedua.
Allahyarhamah dan Premier Sarawak mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 1977 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan.
Majlis penghormatan terakhir diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang.
Pemergian allahyarhamah turut dirasai oleh seluruh rakyat Sarawak yang mengenang beliau sebagai seorang isteri pemimpin yang setia, penyayang dan sentiasa dekat dengan masyarakat.