Anwar, Isteri Sertai Perarakan Bersejarah Di Beijing

BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, atas jemputan rasmi Presiden China, Xi Jinping.

Acara penuh simbolik itu menyaksikan kehadiran 26 pemimpin dunia yang diberi penghormatan menyaksikan perarakan dari Gerbang Tian’anmen iaitu sebuah monumen ikonik yang pernah menjadi pintu masuk utama ke Kota Larangan semasa Dinasti Ming dan Qing.

Walaupun dipamerkan aset ketenteraan moden, Anwar berkata, perarakan tersebut membawa mesej yang jauh lebih mendalam.

“Selepas 80 tahun Perang Dunia Kedua tamat, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman secara terbuka tanpa penentangan serius daripada kuasa besar yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau menyifatkan perarakan itu sebagai peringatan bahawa keamanan sejati tidak akan tercapai tanpa keberanian moral dan ketegasan untuk menolak kezaliman.

“Keadaan itu menjadi peringatan bahawa keamanan sejati hanya akan dicapai melalui keberanian dan keyakinan untuk menolak kezaliman dalam apa jua bentuk,” jelasnya.

Selepas acara, Anwar dan Azizah turut menghadiri jamuan tengah hari rasmi di Great Hall of the People bersama pemimpin dunia lain, yang dihoskan oleh Presiden Xi.

“Terima kasih Presiden Xi atas pengalaman bersejarah yang cukup bermakna,” tambah beliau.

https://malaysiabangkit.com/2025/02/06/malaysia-tegas-ada-hala-tuju-jelas-sebagai-pengerusi-asean-2025

Anda Mungkin Berminat