Anwar Jadi Contoh Sokongan Misi Kemanusiaan Gaza

KUALA LUMPUR: Sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap misi kemanusiaan ke Gaza telah mendapat pujian daripada aktivis antarabangsa, yang menyeru agar pemimpin dunia lain mencontohi pendirian beliau dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman berkata, sokongan Anwar terhadap Global Sumud Flotilla wajar dijadikan teladan khususnya oleh negara-negara di rantau Asia yang turut berkongsi semangat solidariti.

“Pemimpin Nusantara termasuk Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina dan Thailand diseru mencontohi Perdana Menteri kita yang telah mengisytiharkan dirinya penaung Sumud Nusantara,” katanya menerusi satu rakaman video.

Global Sumud Flotilla merupakan misi kemanusiaan yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan ke Gaza, dijangka tiba di perairan wilayah bergolak itu pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.

Misi tersebut turut disertai oleh beberapa figura tanah air termasuk artis Zizi Kirana dan Ardell Aryana serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat.

Kumpulan kedua pula membabitkan 15 aktivis Malaysia, antaranya pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.

Flotila ini bertujuan mendesak kerajaan dunia agar mengambil tindakan tegas terhadap Israel, menghentikan genosid yang berlaku di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan kepada mangsa perang.

Misi berkenaan menghimpunkan delegasi dari pelbagai benua termasuk Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat dengan kesemua peserta menegaskan bahawa perjuangan mereka berteraskan prinsip tanpa keganasan serta solidariti global untuk rakyat Palestin.

Anda Mungkin Berminat