Anwar Jawab Desakan Rafizi, Lulus Individu Baru Dalam Pemilihan PKR

Johor Bahru: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya meluluskan pencalonan individu baharu dalam pemilihan PKR dan Pilihan Raya Umum (PRU), susulan kritikan daripada timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi parti yang akan datang.

“Tidak mengapa, kita bawa dalam mesyuarat. Keputusan saya sendiri tidak mahu sebenarnya, saya sudah sebut dengan jelas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Tetapi ada (permohonan) dihantar ke pejabat saya dan saya luluskan semua kerana kalau luluskan sebahagian sahaja nanti akan jadi masalah.

“Semua yang sampai ke meja saya, saya luluskan, jadi tiada isu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi kepemimpinan baharu PKR di Berjaya Waterfront Hotel, tengah hari tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung PKR yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Terdahulu, Rafizi menggesa PKR agar memansuhkan kuasa khas presiden yang membenarkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya walaupun belum cukup setahun keahlian mereka.

Beliau mendakwa bahawa kuasa tersebut telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli akar umbi yang telah lama berjuang membina kekuatan parti sehingga berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

Anda Mungkin Berminat