PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-73 yang dipengerusikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Mesyuarat kali ini menjadi medan penting memperkukuh kerjasama antara institusi Raja dan Kerajaan dalam menyelaras hal ehwal Islam di peringkat nasional.
Menurut Anwar dalam mesyuarat itu, Sultan Nazrin menzahirkan keprihatinan tinggi terhadap pembangunan umat Islam di Malaysia.
Baginda bertitah dengan menekankan falsafah perpaduan yang diilhamkan daripada adat perpatih.
Baginda turut menegaskan kepentingan mempertahankan kesucian agama dan martabat bangsa.
“Perpaduan, ihsan dan adab perlu menjadi teras pembangunan insan dalam usaha menyebarkan syiar Islam dan memperkukuh maruah bangsa,” titah baginda.
Perdana Menteri dalam kenyataannya menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkasa kedudukan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus berikhtiar dengan sedaya upaya dan kapasiti yang ada bagi memartabatkan Islam dalam konteks Malaysia MADANI,” kata Anwar.
Mesyuarat MKI kali ini turut membincangkan pelbagai dasar dan pendekatan baharu dalam memperkukuh institusi Islam di negara ini selari dengan cabaran semasa.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; ahli-ahli MKI mewakili negeri-negeri serta pemimpin utama kerajaan.