KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan berkunjung ke Sabah esok (Jumaat) bagi meninjau sendiri situasi banjir yang semakin meruncing di negeri itu.
Lawatan tersebut diumumkan secara ringkas oleh beliau kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-46 (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Khamis.
“Saya akan pergi esok,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai kehadirannya ke negeri berkenaan.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga pada pagi ini.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 2,919 orang daripada 814 keluarga yang direkodkan pada petang Rabu.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di 27 PPS yang melibatkan enam daerah utama iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.
Keadaan cuaca yang tidak menentu serta limpahan air sungai dilaporkan menjadi antara punca utama banjir di kawasan berkenaan.








