Anwar Ke Singapura Untuk Sesi Pemukiman Malaysia-Singapura Ke-12

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual ke Singapura pada 4 Disember 2025 (Khamis) bagi menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.

Menurut kenyataan media Wisma Putra pada Rabu, lawatan kerja itu akan turut disertai barisan kepimpinan utama negara termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan juga akan bersama dalam delegasi tersebut.

Selain itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor dijangka turut serta dalam rombongan berkenaan.

“Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin merupakan mekanisme peringkat tertinggi bagi kedua-dua negara dan dianjurkan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura.

“Sesi Pemukiman ini bertujuan untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama serta meneroka peluang kerjasama baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala,” kata Wisma Putra.

Sepanjang lawatan tersebut, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu Perjanjian antara Malaysia dan Singapura, yang mencerminkan skop kerjasama semakin meluas.

“Satu Kenyataan Bersama juga akan dikeluarkan selepas Sesi Pemukiman tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Sebagai jiran terdekat dan rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat merentasi pelbagai sektor.

Untuk rekod, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah USD78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, iaitu 13.5 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura, menjadikan Sesi Pemukiman kali ini lebih signifikan dalam memperkukuh persahabatan dan kerjasama strategik kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat