PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berangkat ke Tokyo esok (Isnin) bagi lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan kerajaan Jepun.
Lawatan itu dilihat sebagai langkah penting memperkukuh hubungan dua hala yang telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong bersama pegawai kanan kerajaan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan diberikan majlis sambutan rasmi, diikuti dengan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi,” kata kenyataan itu.
Pertemuan tersebut dijangka membuka ruang untuk menyemak kemajuan hubungan dua hala dan merangka hala tuju baharu kerjasama masa depan.
Selain itu, Anwar dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo serta ucapan dasar di Forum Nikkei ke-31: Masa Depan Asia.
Beliau juga akan menghadiri sesi meja bulat bersama tokoh industri Jepun bagi membincangkan peluang pelaburan bernilai tinggi di Malaysia.
Jepun kini merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM142.96 bilion pada tahun lalu.
Pelaburan Jepun di Malaysia pula berjumlah RM107.9 bilion melalui lebih 2,800 projek pembuatan yang telah mewujudkan lebih 347,000 peluang pekerjaan.








