PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif rejim Zionis Israel yang memintas secara tidak sah kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) di perairan antarabangsa.
Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik di Facebook beliau pada Rabu, Anwar menyifatkan tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza sebagai satu pencabulan terhadap prinsip asas hak asasi manusia dan maruah kemanusiaan sejagat.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.
“Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat,” katanya.
Perdana Menteri turut menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi tersebut dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.
Beliau berkata, Kerajaan Madani akan terus berusaha sedaya upaya untuk melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu termasuk berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka dalam kadar segera.
Terdahulu, media melaporkan bahawa sembilan buah kapal Conscience yang membawa aktivis misi kemanusiaan FFC dan TMTG telah dipintas oleh tentera Israel.
Perkara itu disahkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), yang memaklumkan bahawa sekatan dilakukan ke atas semua bot berkenaan sekitar pukul 10.50 pagi pada Rabu.
Turut dilaporkan, semua kapal terlibat tidak dapat dihubungi dan nasib mereka tidak diketahui setakat ini.