Anwar kenang ibu dan isteri, sumber kekuatan dalam perjuangan

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan dua wanita terpenting dalam hidupnya – ibu tercinta, Allahyarhamah Che Yan Hamid Hussein, dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail – sebagai tulang belakang dalam setiap langkah perjuangannya.

Dalam satu hantaran sempena Hari Wanita, Anwar mengenang kasih dan pengorbanan mereka yang menjadi sumber kekuatannya dalam menuntut keadilan dan membela rakyat.

“Mereka adalah tulang belakang saya, sumber kekuatan dalam menuntut keadilan dan meneruskan perjuangan demi rakyat,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua wanita atas keberanian dan pengorbanan mereka dalam membentuk masyarakat yang lebih adil serta sejahtera.

Menurutnya, perjuangan untuk memastikan wanita diberi hak yang saksama dalam semua aspek kehidupan perlu diteruskan.

Beliau menyeru agar hak dan martabat wanita terus diperjuangkan, dengan memastikan mereka diberikan ruang serta peluang yang adil dalam pelbagai bidang.

“Semoga kita terus memperjuangkan hak dan martabat wanita, memastikan mereka diberi ruang dan peluang yang saksama dalam semua aspek kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ucapan itu mencerminkan penghormatan beliau terhadap peranan wanita bukan sahaja dalam keluarga, tetapi juga dalam pembangunan negara.

Anwar dan Azizah telah melalui pelbagai dugaan dalam kehidupan dalam menghadapi ujian politik. Namun, kasih sayang dan ketabahan Azizah menjadi bukti betapa wanita mampu menjadi pendamping setia dalam menghadapi cabaran.

Di sebalik kejayaan seorang pemimpin, ada wanita yang berdiri teguh di sampingnya – memberikan kasih, kekuatan dan keyakinan untuk terus berjuang.

Hari Wanita disambut 8 Mac setiap tahun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat