Anwar: Kerajaan Perpaduan Lebih Ikhlas dan Stabil

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur terhadap permuafakatan dalam kerajaan perpaduan yang disifatkannya lebih mantap dan kukuh berbanding pembangkang, susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis.

Menurut Anwar, kerjasama dalam kerajaan perpaduan kekal berteraskan keikhlasan tanpa sebarang unsur sabotaj atau pengkhianatan sesama rakan gabungan.

“Saya bersyukur kerana muafakat kerajaan perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tidak wujud usaha sabotaj serta khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan politik semasa membabitkan kerajaan negeri Perlis yang diterajui pembangkang, susulan pertukaran jawatan Menteri Besar daripada PAS kepada BERSATU.

Terdahulu hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), diikuti Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta beberapa pengerusi PN negeri termasuk Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

Kemelut politik di Perlis sebelum ini menyaksikan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Mohd Shukri Ramli daripada PAS.

Susulan tindakan tersebut, PAS menghentikan keahlian tiga ADUN terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), sekali gus menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandang mereka diisytiharkan kosong.

Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang kemudiannya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis selepas kira-kira tiga tahun menerajui pentadbiran negeri.

Ahad lalu, Abu Bakar Hamzah yang juga Pengerusi BERSATU Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat