PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal terhadap insiden hidangan minuman keras dalam satu acara kerajaan, sambil menegaskan bahawa dasar pentadbiran beliau tidak akan bertolak ansur dalam hal yang menyentuh sensitiviti rakyat dan imej negara.
Dalam kenyataan tegas kepada media pada Selasa, Anwar menekankan bahawa semua pihak dalam kerajaan termasuk menteri dan pegawai tinggi, perlu lebih peka terhadap peraturan sedia ada agar tidak mencetuskan persepsi negatif terhadap pentadbiran.
“Dasar Kerajaan jelas dan tegas, tidak membenarkan minuman keras dihidangkan sama sekali dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
“Semua pihak di dalam institusi kerajaan termasuk berjawatan menteri, harus lebih peka dan sensitif terhadap peraturan dan undang-undang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan kementerian yang terlibat sebagai amat dikesali dan memaklumkan bahawa amaran keras telah diberikan agar kesilapan tersebut tidak berulang.
“Tindakan menteri dan kementerian ini amat dikesali dan mereka telah diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perkara sama.
“Seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai berhubung perkara sebegini,” tegasnya.
Walaupun penjelasan diberikan bahawa insiden itu berlaku selepas majlis rasmi berakhir, Anwar tetap menganggap tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima.
“Penjelasan yang diberikan ialah majlis rasmi telah berakhir, namun lokasi masih sama.
“Bagi saya, ia tetap tidak wajar sama sekali. Saya telah memberikan peringatan keras kepada semua Jemaah Menteri supaya tidak memulakan kesilapan seperti ini,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar lebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab khususnya dalam perkara yang boleh menjejaskan integriti dan imej pentadbiran negara di mata rakyat.








